AGENSISELANGOR

Tindakan Luas elak henti tugas LRA Sungai Selangor, putus bekalan air

SHAH ALAM, 19 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bertindak pantas mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dan bekalan air tergendala selepas insiden air berwarna hitam dikesan di Sungai Gong, Rawang hari ini.

Dalam kenyataannya agensi Kerajaan Negeri itu memaklumkan kejadian pada jam 12.11 tengah hari susulan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak dan siasatan di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir JPS mendapati air sungai berwarna hitam dan tiada bau selain disyaki disebabkan pewarna.

“Kod Kuning diaktifkan berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Pembersihan Air (LPA) utama di bahagian hilir Sungai Selangor,” katanya.

Luas menambah siasatan turut mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna dan berbuih dari discaj efluen loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) GBK 134 area 5 di kawasan Perindustrian Rawang.

Katanya, pensampelan in-situ mendapati kandungan ammonia sebanyak 5.2 mg/I dan TSS adalah 47 mg/I sebelum aliran dari pam masuk serta pelepasan caj efluen diberhentikan.

“Siasatan bersama Air Selangor di sistem pemantauan sungai (RMS) Country Home Rawang mendapati sampel aliran air berwarna hitam tersebut menunjukkan tiada bau dan kesan minyak,” katanya.

Agensi itu menjelaskan siasatan diteruskan ke Sungai Sembah iaitu aliran sebelum masuk ke Sungai Selangor untuk pensampelan in-situ dan mendapati tiada bau serta tiada warna kehitaman.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan. Tiada henti tugas loji dan gangguan bekalan air dilaporkan,” katanya.


Pengarang :