Jabatan Kesihatan Negeri Selangor merampas produk Lianhua Qingwen Jiaonang dari China yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia didakwa berkesan merawat jangkitan Covid-19. Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

1,200 produk tradisional China didakwa boleh rawat Covid-19 dirampas

SHAH ALAM, 26 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas 1,200 kotak produk tradisional China tidak berdaftar bernilai RM120,000 pada Jumaat lalu.

Pengarahnya berkata rampasan dibuat bahagian penguatkuasaan farmasi terhadap produk Lianhua Qingwen Jiaonang dari sebuah kereta penumpang semasa sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berhampiran Plaza Tol Plus Bukit Raja, Klang.

“Siasatan awal mendapati produk tersebut dipercayai dibawa masuk secara haram dari China dikhuatiri akan mengelirukan orang ramai kerana didakwa berkesan merawat jangkitan Covid-19,” kata Datuk Dr Sha’ari Ngadiman menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati sewaktu membeli sebarang produk kesihatan dan kosmetik dijual secara dalam talian selain memastikannya memenuhi undang-undang.

“Orang ramai termasuk media digalak membuat aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk meragukan dalam membantu Kementerian Kesihatan membanteras penjualan bahan tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan serta kesejahteraan awam,” katanya.

Aduan boleh disalur kepada program perkhidmatan farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy. gov.my atau portal sistem pengurusan aduan agensi awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my dan menghubungi talian 03-78413200.


Pengarang :