AGENDA NASIONAL

ABM: Bank masih terbuka bantu PKS terjejas

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Kalangan bank-bank masih terbuka untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terbukti terus terjejas dan sukar membayar balik pinjaman walaupun tempoh moratorium telah berakhir pada 30 September lepas.

Sehubungan itu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) hari ini menggesa PKS terbabit agar terus menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan berkaitan selain dapat menjelaskan secara terperinci masalah mereka.

Wakil ABM Mohd Zaini Aris berkata ini juga dapat memudahkan pihak bank menyalurkan bantuan yang tepat serta sesuai dengan keperluan PKS berkenaan.

“Kita (bank-bank) masih terbuka walaupun tempoh itu tamat pada 30 September lepas. Apa yang berakhir adalah tempoh moratorium, namun bantuan bayaran balik pinjaman masih terbuka bagi PKS-PKS yang benar-benar memerlukannya.

“Sesetengah perniagaan masih boleh bertahan semasa fasa pertama Covid-19, namun mula terjejas selepas fasa kedua dan ketiga. Mereka-mereka (PKS) ini yang kita tiada data kerana mereka tidak menghubungi kita semasa fasa pertama dahulu,” katanya pada sesi webinar anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Mohd Zaini merupakan antara ahli panel pada sesi yang dihoskan oleh Penolong Gabenor BNM Adnan Zaylani Mohamad Zahid bertajuk ‘Bantuan Bayaran Balik Pinjaman untuk PKS: Masih Belum Terlambat.’

Sementara itu, seorang lagi ahli panel yang juga Ketua Pegawai Perniagaan Bank Simpanan Nasional Bhd (BSN) Mujibburrahman Abd Rashid berkata pihaknya menyediakan beberapa alternatif membantu PKS seperti lanjutan moratorium, penjadualan semula bayaran balik pinjaman, bayaran keuntungan dan sewa beli.

“Bantuan bayaran semula itu sentiasa ada untuk membantu mereka yang terkesan sepanjang tempoh Covid-19.

“Bagi pelanggan di zon merah, mereka tak perlu ke bank dan hanya perlu memohon menerusi laman sesawang,” katanya.

Dalam pada itu, BNM, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan institusi perbankan mempergiat usaha untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan PKS tampil memohon bantuan bayaran balik pinjaman terbabit.

Malah, BNM, AKPK dan insititusi perbankan juga mengadakan lebih 150 sesi perbincangan dan interaksi termasuk 14 kempen bantuan bayaran balik itu di pelbagai lokasi di seluruh negara, untuk bertemu dengan peminjam PKS.

Untuk rekod, setakat 25 September lepas, seramai 35,000 PKS memohon bantuan itu dengan 99 peratus permohonan diluluskan.

Kira-kira separuh daripada permohonan itu adalah bagi penangguhan bayaran balik manakala separuh lagi untuk mengurangkan ansuran bulanan.

-BERNAMA


Pengarang :