Presiden Parti KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar gesa ahli parlimen KEADILAN dengar rintihan rakyat, bantu pulih negara

SHAH ALAM, 9 OKT: Ahli parlimen KEADILAN digesa terus berkhidmat membantu masyarakat ketika berdepan pandemik Covid-19, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden KEADILAN berkata dengan cara itu, parti boleh mengenal pasti cara terbaik dalam memulih dan memakmurkan negara.

“Penting untuk mereka bekerja secara aktif dan sering berinteraksi dengan pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran berkaitan dengan sektor yang berada di bawah portfolio mereka.

“Ahli Parlimen tidak boleh berfungsi hanya untuk menyatakan pendirian parti semata-mata tetapi perlu bertindak sebagai penjaga kepentingan awam,” katanya pada pertemuan menerusi Zoom dengan ahli Majlis Pimpinan Pusat serta wakil rakyat parti itu.

Perkara itu disampaikan Setiusaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata ketua pembangkang turut memberi penekanan khusus kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun supaya bekerja keras menangani cabaran akibat pandemik.

Katanya, Anwar turut menerangkan majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong pada minggu depan dan hasrat membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil merangkumi seluruh kekuatan yang menumpukan agenda rakyat.


Pengarang :