Lapan lelaki termasuk seorang pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Selayang pada 22 Okt berhubung pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cemar Sungai Selangor: Reman lapan lelaki disambung enam hari

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Tempoh tahanan reman terhadap lapan lelaki termasuk seorang pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan berhubung kes pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor dilanjut enam hari lagi oleh Mahkamah Majistret Selayang.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan mengeluarkan perintah itu ke atas semua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 28 hingga 66 tahun selepas membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman sehingga 3 Nov ini.

Mereka sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari mulai 22 Okt untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding reman terhadap semua suspek yang memakai baju lokap polis berwarna oren dan ungu serta seorang berkemeja lengan pendek itu bermula pukul 9.30 pagi dan selesai 10.20 pagi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.38 pagi 19 Okt lepas, menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras 3 TON (nilai bau ambang).

Media sebelum ini melaporkan henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

-BERNAMA


Pengarang :