Lembaga Urus Air Selangor (Luas) meletakkan oil pad dan oil boom di lokasi pembuangan minyak bagi menghalang aliran minyak ke alur seterusnya ke Sungai Balak pada 27 Oktober 2020. Hasil siasatan Luas ditapak mendapati lokasi pembuangan minyak tersebut merupakan kawasan bertakung dan disyaki pembuangan haram oleh pihak ketiga. Foto: Facebook Luas
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Tindakan pantas halang cemar air, elak gangguan bekalan

SHAH ALAM, 28 OKT: Tindakan pantas agensi Kerajaan Negeri berjaya menghalang empat potensi pencemaran daripada mengalir ke sumber air utama dalam tempoh enam hari.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha berkenaan hasil siasatan dilakukan bersama oleh pegawai Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas) selepas menerima aduan daripada orang awam.

“Paling baharu semalam kita kenal pasti ada tumpahan minyak hitam. Pegawai Jas, Luas, Span dan Air Selangor telah meranjau keseluruhan sungai dan mendapati tiada kesan (punca pencemaran) daripada kilang atau bengkel persekitaran. Tiga hari lepas di Sungai Kundang, (ada) tumpuhan bewarna hitam dipercayai minyak.

Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada Jabatan Penjara, Basikal Elektrik dan Jet Ski kepada Polis Diraja Malaysia di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya bimbang ia adalah tindakan disengajakan, namun saya tiada bukti untuk mengatakan begitu, cuma Alhamdulillah dalam tempoh tiga atau empat hari ini kita berjaya menghalang potensi cubaan untuk mencemarkan sungai,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Semalam Luas mengesan pencemaran minyak hitam di alur air Jalan KB1/9 Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan selepas menerima aduan orang awam pada jam 6 petang.

Luas telah meletakkan oil pad dan oil boom di lokasi pembuangan minyak bagi menghalang ia mengalir ke alur seterusnya ke Sungai Balak.

Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri sudah menambah jumlah pegawai untuk meningkatkan pemantauan di semua kawasan sungai dan sumber air di samping penggunaan dron bermula 1 November ini.

Amirudin menyeru semua pihak untuk tidak melakukan pencemaran di sungai kerana ia menjejaskan ratusan ribu pemilik akaun serta mengakibatkan gangguan bekalan air.


Pengarang :