Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian ke dalam beg saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Dua wakil rakyat positif Covid-19, terbaharu ADN Kota Damansara

SHAH ALAM, 5 OKT: Seorang lagi wakil rakyat Selangor disahkan positif Covid-19 hari ini hasil keputusan saringan kedua dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Shatiri Mansor berkata dua orang anaknya turut disahkan positif menerusi ujian yang dijalani pada 2 Oktober lalu.

“Kami bertiga akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut. Sejak pulang dari Sabah pada 27 September, saya dan anak-anak menjalani kuarantin kendiri di rumah,” katanya melalui video yang dikongsi di Facebook.

Beliau berkata isterinya yang turut serta ke Sabah disahkan positif pada 30 September hasil saringan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Shatiri Mansor. Foto shatirimansor.com

Shatiri berkata tiga lagi kakitangan Pusat Khidmat DUN Kota Damansara yang terlibat sama disahkan negatif dan menjalani kuarantin di rumah sehingga 16 Oktober.

“Bagaimanapun, pusat khidmat DUN akan beroperasi seperti biasa dan mereka yang hadir perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Saya berdoa semoga kita semua selamat sejahtera dan saya sendiri dapat memberi perkhidmatan lebih baik selepas ini. Anda tetap boleh berjumpa saya secara maya di shatirimansor.com,” katanya lagi.

Sebelum itu, ADN Kampung Tunku disahkan positif Covid-19 hasil keputusan saringan kedua yang dijalaninya pada 2 Oktober lalu.

Lim Yi Wei berkata ujian tersebut dilakukan selepas beliau mengalami gejala pada 1 Oktober walaupun sehari sebelum itu disahkan negatif Covid-19 dan diminta hadir untuk dibuka gelang merah jambu.

Beliau menempuh ujian saringan pertama di klia2 sejurus tiba dari Sabah pada 27 September lalu dan menjalani kuarantin diri.


Pengarang :