Kerajaan memaklumkan sebanyak 298 sekolah di daerah Petaling ditutup bermula 12 hingga 25 Oktober 2020 berikutan daerah itu dikelaskan sebagai Zon Merah penularan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Hulu Langat catat 49 kes baharu Covid-19, tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 20 OKT: Hulu Langat mencatatkan kes baharu Covid-19 tertinggi di Selangor hari ini dengan 49 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata daerah kedua terbanyak adalah Petaling dengan 39 kes diikuti Gombak (12), Klang dan Kuala Langat masing-masing 11, Sepang (sembilan) dan Kuala Selangor (satu).

Sementara itu Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan pertambahan 132 kes itu menjadikan jumlah terkumpul 3,489 di negeri berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulah berkata Selangor mencatatkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak sejak 28 September lalu dan ia bermula setelah kemasukan dan kepulangan pengunjung dari Sabah.

Sementara itu, kes baharu di negara ini pula merekodkan angka melebihi 800 kes selama empat hari berturut-turut dengan 862 kes hari ini.

Kes tertinggi dicatat pada Ahad lalu iaitu 871 manakala sehari sebelumnya 869 kes dan semalam 865.

Keseluruhannya, sebanyak 22,225 kes positif wabak dilaporkan dengan 7,681 kes aktif.


Pengarang :