PUTRAJAYA, 3 OKT: Tidak ada keperluan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata meskipun angka positif Covid-19 dilihat besar, namun kebanyakan kes itu melibatkan tahanan penjara di Kedah dan Sabah, yang terasing daripada komuniti.
“PKP ke hari ini? Tidak… kita tidak akan mengisytiharkan PKP kerana contohnya semalam, walaupun mencatatkan jumlah 287 kes tetapi 128 daripada 129 kes di Kedah misalnya, adalah melibatkan kluster Tembok iaitu mereka di dalam penjara.
“Di Sabah, 35 kes adalah melibatkan kluster Benteng juga di penjara… yang di luar 78 kes dan walaupun angka itu juga besar namun kami sudah buat kawalan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Beliau berkata kes di negeri-negeri lain juga mencatatkan angka yang rendah, sama ada satu hingga tiga kes sahaja, kecuali Selangor 31, namun ia belum sampai ke tahap merah.
“Jadi kalau kita tengok, kebanyakan satu atau dua kes di setiap negeri, jadi bukan satu perkara yang membimbangkan.
“Kalau satu, dua kes kita nak buat sekatan satu negara, sampai bila pun negara kita PKP…,” katanya.
Jika sesuatu negeri melepasi angka merah, kerajaan akan mengenal pasti kawasan di negeri itu untuk dikenakan sekatan mengikut kawasan.
“Katalah Selangor… kita tidak akan laksanakan sekatan pergerakan seluruh negara, seluruh negeri itu atau seluruh daerah, hanya sasar kawasan seperti satu kawasan flat atau satu kawasan kampung yang terlibat,” katanya.
Ismail Sabri berkata atas alasan yang sama juga, masih tiada keperluan untuk sekatan rentas negeri atau daerah dilaksanakan.
“Rakyat diharap tidak terlalu panik, walaupun rakyat mungkin marah pada saya kerana kata jangan panik… tetapi walaupun begitu jangan ambil lewa dan rasa selesa… sentiasalah perketatkan kawalan kendiri, selagi vaksin tidak ditemui,” katanya.
-BERNAMA