Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 3 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster baharu Sungei Way babit 18 kes positif Covid-19

SHAH ALAM, 11 OKT: Satu lagi kluster baharu dikesan di Selangor melibatkan 18 kes positif Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Sungei Way itu turut melibatkan kes di Gombak dan Titiwangsa, Kuala Lumpur.

“Kes indeks adalah kes ke-14307 yang mempunyai gejala dan disahkan positif pada 7 Oktober.

“Hasil saringan kontak rapat, sebanyak 17 kes positif lagi dikesan. Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 149 individu disaring dengan 124 negatif manakala 17 lagi masih menunggu keputusan,” katanya ketika bersiaran di Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 26 kes baharu dilaporkan di Selangor hari ini dengan 25 jangkitan tempatan termasuk 11 dari kluster sedia ada.

“Tiga dari kluster Sungei Way, lima saringan kontak rapat, dua pulang dari Sabah, dua saringan pembedahan manakala dua lagi dari saringan bergejala,” katanya.


Pengarang :