Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia bakal terima bekalan vaksin Covid-19 suku pertama 2021

SHAH ALAM, 24 OKT: Malaysia dijangka memperoleh bekalan vaksin Covid-19 mulai suku pertama tahun depan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berkata keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.

“Setakat ini KKM telah berhubung dengan lapan calon vaksin yang kini berada di peringkat ujian klinikal fasa tiga,” menurut kenyataan bersama kementerian terbabit hari ini.

Menurut kenyataan lagi, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Katanya, kerajaan juga memuktamadkan rundingan dengan Covax yang mempunyai sembilan calon vaksin Covid-19 di bawah Global Alliance for Vaccine and Immunisation (Gavi) dan menyediakan peruntukan kewangan bagi pembelian melalui Tabung Covid-19 Kementerian Kewangan.

“Kerajaan komited untuk mendapat keputusan segera bagi perolehan vaksin Covid-19 bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam mendapatkan bekalan vaksin yang diluluskan dan terbukti selamat kelak,” katanya.

 


Pengarang :