BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

MB: Mensyukuri nikmat dalam musibah

Perutusan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sempena sambutan Maulidur Rasul

Tatanan dunia tergoncang

Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amat menakjubkan urusan seorang mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith: 2999)

Sabda Rasulullah SAW yang memberi pedoman kepada manusia, khususnya umat Islam, dalam kita dilanda musibah dan bagaimana manifestasi keimanan dalam menghadapi dugaan daripada Allah SWT.

Umat Islam seharusnya menghayati hakikat keimanan dan sentiasa bersyukur dengan segala nikmat, kebaikan dan kesenangan yang diperoleh dan sabar dalam menghadapi kesukaran, kepayahan dan kesusahan. Justeru, kesabaran umat dalam menghadapi ujian demikian akan menjadi kebaikan dan kemuliaan serta akan diangkat darjatnya di sisi Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW adalah rasul akhir zaman yang meninggalkan kita dengan segala pedoman hidup dalam segala situasi. Sesungguhnya santun akhlaknya daripada warisan al-Quran dan hadis menjadi cahaya kehidupan kita hingga ke akhir zaman.

Hari ini, seluruh umat Islam wajar memunajat kesyukuran ke hadrat Allah SWT lantaran rahmat terbesar kepada umat dengan anugerah kelahiran seorang Rasul yang membuka gapura kebenaran lalu menutup pintu kesesatan dalam perjalanan hidup di atas muka bumi ini.
Peristiwa keputeraan baginda adalah sejarah maha agung merentasi zaman dan perlu dihayati dengan kegembiraan di seluruh pelusuk benua.

Pada 12 Rabiul Awal, tarikh keramat kelahiran baginda ditunggu-tunggu umat yang beriman dengan kerasulan baginda. Kesantunan dan nilai murni yang tiada tara menzahirkan kekaguman umat kepada baginda.

Kemuliaan akhlak baginda tidak terperi indahnya, bukan sekadar meneladani para sahabat, malah meluluhkan hati musuh. Agung nama baginda menjadi selawat dan salam yang menghiasai segala yang ada di bumi dan langit tanpa pernah ada noktah.

Suri teladan umat

Muhammad bin Abdullah, junjungan besar dan susuk tersohor dalam lipatan sejarah serta menjadi suri teladan umat Islam khususnya hingga hari ini tanpa ada galang gantinya. Rasul ulul azmi ini dibidankan dalam suasana yang penuh getir menggerunkan, dengan ancaman perang dari pasukan bergajah Abrahah al-Asyram serta membesar dalam kepayahan yang luar biasa sepenuhnya tanpa asuhan seorang ayah dan sebahagian besarnya tanpa kasih sayang seorang ibu. Lebih memeritkan tatkala kelahiran baginda, Kota Makkah dilanda musibah taun dan tidak sepi dari bencana alam dari masa ke masa.

Didikan datuk dan asuhan bapa saudaranya menjadi panduan anak muda ini mengelola diri dalam lautan kemusyrikan yang membadai ketika itu. Sebagai seorang yang hanif, baginda lebih selesa menghabiskan masa dengan gembalaannya yang menjadi pengajaran besar dan bermakna untuk mengurus serta memperkembang usaha niaga pintar bersama Siti Khadijah yang kemudiannya baginda juarai.

Dalam seribu satu kehebatannya sebagai seorang rasul pilihan Allah SWT, kehidupan baginda yang berwarna-warni cukup menunjukkan ketinggian nilai kemanusiaan, keperibadian yang tinggi dan dijiwai sejak kecil.

Cekal dibadai musibah

Seluruh peristiwa-peristiwa besar seperti padamnya api di tanah Parsi serta kemunculan cahaya di langit Makkah yang berlaku sebagai tanda kelahiran insan sempurna ini menunjukkan betapa umat manusia seolah-olah ternanti-nanti akan sang penyelamat yang membawa harapan untuk mereka keluar daripada kezaliman kepada keadilan; mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya.

Seperti yang dikutip pada awal artikel, baginda mengingatkan betapa cekalnya orang beriman kerana tetap sabar dan bersyukur ketika mendapat nikmat mahupun ketika dilanda musibah.
Optimisme ini terserlah ke dalam peribadi sahabat-sahabat baginda, yang termasyhur sekali melalui ungkapan Saidina Umar RA untuk “tetap menyemai benih kurma walaupun esok mungkin kiamat”, mafhumnya. Pesan-pesan Junjungan Mulia yang positif dan optimis sangat wajar diimani dan dihayati, lebih-lebih lagi pada saat penularan pandemik yang menggoncang tatanan dunia saat ini.

Mari kita menyemarakkan selawat dan salam kepada junjungan besar sebagai penghayatan keimanan kepada rasul dan mengindahkan nilai diri dengan meneladani sunnah baginda.
Semoga kita semua umat Islam menginsafi amanat Nabi Muhammad SAW dan terus berusaha dengan sabar dan syukur dalam melalui hari-hari yang mendatang.

Salam Maulidur Rasul Muhammad SAW.

 


Pengarang :