Jurulatih Sementara Selangor Michael Feichtenbeiner memberikan arahan kepada pemain ketika sesi latihan di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FA Selangor) pada 10 Oktober 2020. Foto Facebook FA Selangor
AGENDASUKANKINI

Menang besar dua kali bakar semangat Red Giants harungi Piala Malaysia

SHAH ALAM, 12 OKT: Jurulatih Sementara Michael Feichtenbeiner gembira dengan prestasi Selangor yang berjaya bangkit merekodkan kemenangan besar dalam dua perlawanan terakhir CIMB Liga Super musim ini.

Menurutnya walaupun pasukannya tidak berjaya mendapatkan kedudukan yang baik seperti disasarkan tetapi beliau yakin kebangkitkan dipamerkan pemain akan diteruskan dalam aksi Piala Malaysia bermula 25 Oktober ini.

“Kami gembira dengan prestasi yang semakin baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini dengan dua kemenangan berturut-turut.

“Kita mengakhiri musim dengan suasana yang baik walaupun bukan seperti diimpikan dan berharap mentaliti kemenangan diteruskan selepas ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pemain kini lebih terbuka memahami strategi diterapkan ketika latihan selain menunjukkan kesungguhan demi meraih tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

“Semua pemain tahu perlu bekerja keras untuk mencari tempat beraksi. Saya lihat beberapa pemain berusaha mendapatkan tempat beraksi di posisi masing-masing dan ini merupakan persaingan positif dalam pasukan,” katanya.

Sejak Feichtenbeiner membimbing pasukan pada 21 September lalu, Red Giants berjaya menjaringkan 16 gol dan bolos empat kali dalam tiga perlawanan terakhir liga.

Selepas 11 perlawanan Selangor mengakhiri musim CIMB Liga Super dengan menduduki tangga kelima dan mengumpul 17 mata.


Pengarang :