Anggota pasukan keselamatan bertugas membuat kawalan pada laluan masuk dan keluar di Penjara Pokok Sena pada 12 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPD Penjara Pokok Sena dilanjut, Penjara Tawau tamat Ahad ini

SHAH ALAM, 23 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Pokok Sena, Kedah dilanjutkan selama 14 hari lagi hingga 7 November, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga semalam mendapati masih terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara.

“Atas cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD Penjara Pokok Sena.

“Pelanjutan itu bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya di dalam penjara terutamanya dalam kalangan kakitangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata PKPD di Penjara Tawau dan Kuarters Taman Ehsan, Tawau, Sabah bakal ditamatkan pada Ahad selepas tiada lagi kes aktif wabak.

Menurut Ismail Sabri, sehingga kelmarin, KKM membuat 1,250 saringan di penjara tersebut manakala 1,195 saringan kakitangan di kuarters.

“Tiada lagi kes aktif direkodkan di Penjara Tawau manakala hanya dua kes sahaja di kuarters dan mereka sedang menerima rawatan.

Sebelum ini, kawasan penjara dan kuarters terbabit diletakkan dalam PKPB sejak 11 September dan kemudiannya dilanjutkan sehingga Ahad ini.


Pengarang :