AGENDANASIONAL

RM40 juta jayakan skim air percuma tahun depan

SHAH ALAM, 30 OKT: Skim Air Darul Ehsan diteruskan tahun depan dengan tambahan peruntukan sebanyak RM40 juta, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program air percuma memanfaatkan 250,000 pengguna sejak diperkenal pada 1 Mac 2019 dengan perkongsian kos bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Sepanjang tempoh pelaksanaan program air percuma, jumlah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri adalah RM1.8 bilion sehingga 31 Disember 2019.

“Konsep perkongsian kos membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan semula peruntukan negeri bagi projek pembangunan bekalan air,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Amirudin turut menyeru rakyat supaya mengamalkan sikap berjimat-cermat memandangkan penggunaan per kapita negeri ini adalah 222 liter setiap hari, lebih tinggi daripada purata negara dan piawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Cara dan gaya hidup kita harus berubah dengan memikirkan air sebagai antara sumber amat penting yang perlu ditangani secara mampan,” katanya lagi.


Pengarang :