Seramai 250 guru sekolah di Labuan menjalani ujian pengesahan dan saringan kedua Covid-19 serta tindak balas berantai polimerase di Pusat Kokurikulum Negeri Wilayah Persekutuan Labuan pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor antara tiga negeri dikesan wujud kluster baharu

SHAH ALAM, 16 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tiga kluster baharu hari ini masing-masing di Selangor, Perak dan Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Merbok melibatkan daerah Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Petaling.

Katanya, kes indeks kluster iaitu kes ke-17,983 dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 9 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat mengenal pasti lapan lagi kes positif Covid-19,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata kluster Lekir di Manjung pula merupakan kes indeks ke-17,528 yang dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober.

“Individu terbabit dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan saringan kontak rapat mengenal pasti lima lagi kes positif wabak,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan kluster Buntar dikesan di Kuala Muda, Kedah; Kerian, Perak dan Putrajaya yang berpunca daripada kes indeks ke-18,035.

Menurutnya, kes positif dikesan hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Sejumlah 51 individu disaring daripada kluster ini dengan lapan daripadanya positif dan 43 lagi masih menunggu keputusan,” tambahnya.


Pengarang :