Petugas kesihatan menanggalkan gelang kuarantin seorang individu yang selesai menjalani kuarantin wajib 14 hari dan bebas jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan, Sabah pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

629 kes baharu Covid-19, enam meninggal dunia

SHAH ALAM, 16 OKT: Kes baharu Covid-19 meningkat hari ini kepada 629 kes menjadikan jumlah keseluruhan 18,758 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat enam kematian dengan lima melibatkan warganegara di Sabah, sementara satu kematian di Kuala Lumpur membabitkan bukan warganegara.

“Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 489 kes (77.7 peratus) manakala negeri di Lembah Klang pula merangkumi 9.5 peratus daripada keseluruhan kes iaitu Selangor (50 kes), Kuala Lumpur (lapan) dan Putrajaya (dua).

“Sementara itu, Pulau Pinang 33 kes, Labuan (19), Perak (sembilan), Kedah (tujuh), Johor (lima), Melaka (tiga), Negeri Sembilan (satu) dan Pahang (satu),” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 245 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12,259 kes.

Katanya, terdapat 99 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 31 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.


Pengarang :