Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular dalam laman sosial. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

1,420 kes Macau Scam didakwa di mahkamah, Januari-Oktober

PASIR PUTEH, 20 NOV: Sebanyak 1,420 daripada 2,676 tangkapan kes berkaitan Macau Scam, membabitkan kerugian RM256 juta sudah didakwa di mahkamah antara Januari hingga Oktober lepas, kata Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Rusli Mohd Noor.

“Mereka yang tertipu itu terdiri daripada pelbagai golongan termasuk pensyarah, jurutera, bahkan kakitangan bank sendiri,” katanya selepas merasmikan Balai Polis Bukit Yong di sini, semalam yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat.

Rusli berkata, mereka menjadi mangsa akibat mudah terpedaya dengan ugutan dan janji manis oleh seseorang menerusi panggilan telefon, kononnya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga dari mahkamah.

Beliau berkata mangsa yang terbabit pula, dengan mudah memberikan nombor pin dan nombor akaun bank, malah sanggup berhutang dengan bank antara RM200,000 hingga RM300,000, untuk dimasukkan ke dalam akaun seseorang selepas diminta berbuat demikian.

“Lebih teruk lagi ada orang kerugian hampir RM1 juta, malah ada yang takut untuk membuat laporan selepas menyedari mereka tertipu,” katanya.

Sementara itu Shafien berkata, pihaknya akan membukukan perjuangan dan pengorbanan anggota polis yang bertugas di pondok polis Bukit Yong ketika zaman darurat menentang pengganas komunis.

Beliau berkata, selama ini rakyat hanya mengetahui sejarah serangan pengganas komunis di Bukit Kepong sahaja tanpa mengetahui di Kelantan juga mempunyai sejarah yang sama yang mana kejadian itu telah menyebabkan anggota tercedera dan terkorban.

– BERNAMA


Pengarang :