AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air tujuh wilayah ditutup jam 6 petang akibat pencemaran

SHAH ALAM, 10 NOV: Bekalan air meliputi 1,279 kawasan di tujuh wilayah ditutup pada jam 6 petang ini susulan henti tugas empat loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran bau.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan wilayah itu ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Henti tugas keempat-empat loji ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan lebih 1.1 juta akaun pengguna,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1, 2 serta 3 ditutup antara jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari tadi susulan pencemaran bau pelarut dikesan di Sungai Selangor.

Elina berkata ketika ini kadar pencemaran muka sauk LRA Rantau Panjang pada tahap lapan TON (nombor bau nilai ambang) manakala LRA Sungai Selangor mencatatkan empat TON.

Sementara itu, menurutnya, sebanyak 300 juta liter air sehari (JLH) dilepaskan dari Empangan Sungai Selangor manakala 500 JLH dari Sungai Tinggi bagi mencairkan bahan pelarut.

“Lembaga Urus Air Selangor turut melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 192 JLH bagi tujuan sama.

“Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dengan mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan,” kata Elina.

Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman web www.airselangor.com.


Pengarang :