EXCOSELANGOR

EXCO: Kerja ganti paip usang 150km setahun

SHAH ALAM, 2 NOV: Kerja penggantian paip usang di negeri ini hanya dapat dilakukan sepanjang 150 kilometer sahaja dalam tempoh setahun, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Jelasnya, peruntukan kewangan bukan sahaja disalurkan kepada penggantian paip tetapi turut perlu disalurkan kepada kerja penyelenggaraan loji rawatan serta pembinaan Loji Rawatan Air Labohan Dagang.

“Saya faham permintaan wakil rakyat yang berharap supaya kerja penggantian paip dilakukan lebih cepat dan baik kerana mahu mengurangkan impak kepada rakyat.

“Namun kita kena terima hakikat, untuk menggantikan paip usang sepanjang 6,000km dalam sekelip mata adalah mustahil, ini kerana kos anggaran bagi satu kilometer paip dianggarkan RM1 juta,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor sudahpun menggantikan 400km paip usang sejak 2016.

Kerja penggantian itu memfokuskan kawasan berisiko tinggi termasuk lokasi kerap mengalami tekanan air tidak stabil.


Pengarang :