EXCO Kerajaan Negeri Ir Izham Hashim bercakap ketika Program Bual Bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? di Studio Media Selangor, Menara Bank Rakyat Shah Alam pada 23 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Rangka pelan hadapi gangguan bekalan air musim kemarau

SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Selangor merangka pelan persediaan untuk berdepan sebarang kemungkinan gangguan bekalan air di negeri ini ketika kemarau panjang.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata kajian menyeluruh akan dimulakan beberapa bulan lagi bagi memastikan sumber air mentah mencukupi untuk dibekalkan kepada pengguna.

“Walaupun dalam masa terdekat tiada (kemarau) tetapi kita tidak boleh leka kerana negara pernah dilanda kemarau besar pada 2014. Susulan itu projek Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) dan Kolam Takungan Hiliran (ORS) dibangunkan.

“Saya yakin dalam tempoh 10 tahun iaitu pada 2024 kita harus bersiap sedia memandangkan gangguan air bukan sahaja boleh berlaku disebabkan pencemaran atau kerosakan paip tetapi juga kemarau,” kata Ir Izham Hashim pada program bual bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Beliau menasihatkan rakyat supaya mengamalkan sikap berjimat cermat berikutan penggunaan air semasa 5,000 juta liter sehari (JLH), tertinggi dalam negara dan melebihi piawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Pengarang :