Ng Sze Han ketika sesi soal jawab sempena persidangan Dewan Negeri Selangor pada 2 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kes buang sampah haram turun 50 peratus tahun ini

SHAH ALAM, 6 NOV: Kes pembuangan sampah haram negeri ini turun kepada 874 setakat September, kurang separuh berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebanyak 1,983 kes dicatatkan tahun lalu, manakala 1,532 kes dilaporkan pada 2018.

EXCO kerajaan tempatan berkata jumlah kes yang dijatuhkan hukuman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) juga semakin berkurangan.

“Sebanyak 364 kes dijatuhkan hukuman tahun ini dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Klang berbanding 1,592 kes tahun lalu, sementara Majlis Perbandaran Kajang menurun kepada 71 kes berbanding 151 kes pada 2019.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Daerah Sabak Bernam pula tidak mencatatkan sebarang kes,” kata Ng Sze Han pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Katanya, pejabat daerah dan tanah serta pegawai PBT boleh mengambil tindakan ke atas pemilik tanah yang terlibat dengan kegiatan itu melalui Notis 7A untuk pemulihan.

Ng Sze Han menjelaskan Notis 7B kemudian akan dikemuka bagi mendapat pengesahan terhadap pemulihan yang dibuat.

“Sekiranya pemilik masih ingkar, tindakan perampasan tanah oleh pentadbir tanah akan dilakukan mengikut Notis 8A, Seksyen 130 Kanun Tanah Negara 1965,” kata wakil rakyat Kinrara.


Pengarang :