Pegawai keselamatan Tajul Qayyum menutup pintu pagar sekolah berikutan daerah Klang dikelaskan sebagai Zon Merah berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPM: Institusi pendidikan di Seremban ditutup mulai esok

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di Seremban, Negeri Sembilan ditutup bermula Khamis ini (5 Nov) hingga 18 Nov.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan itu merangkumi tadika, sekolah rendah dan menengah, institusi pendidikan guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Kenyataan itu menyebut senarai institusi pendidikan yang ditutup di daerah itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan dimuat naik dalam portal KPM, www.moe.gov.my dan platform media sosial rasmi KPM.

Menurut KPM, sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM, www.moe.gov.my,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di daerah Seremban bermula Khamis ini hingga 18 Nov.

Pelaksanaan PKPB itu meliputi sembilan mukim iaitu Ampangan, Seremban, Bandar Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng.

-BERNAMA


Pengarang :