Penduduk sekitar Kampung Baru dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mengalami gangguan bekalan air mendapatkan bekalan air bersih dari tangki awam di pusat khidmat setempat sebelah Padang Bola HKL di Lorong Raja Muda Abd Aziz pada 11 November 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih separuh kawasan terjejas terima semula bekalan air

SHAH ALAM, 12 NOV: Sejumlah 888 kawasan terjejas susulan henti tugas empat loji rawatan air (LRA) menerima bekalan sepenuhnya setakat jam 6 pagi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan wilayah Petaling pulih 60 peratus, Klang/Shah Alam (51 peratus), Gombak (55 peratus) dan Kuala Lumpur (75 peratus).

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri berkata Hulu Selangor pula pulih 87 peratus, Kuala Langat (80 peratus) dan Kuala Selangor (99 peratus).

Peniaga, Amran Ahmad 42, membasuh periuk untuk menadah air bersih bagi meneruskan perniagaannya berikutan gangguan bekalan air akibat pencemaran sumber air mentah ketika tinjauan di Telaga Anak Jati Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam pada 11 November 2020. Foto BERNAMA

“Sebanyak 391 kawasan di wilayah yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan. Pengguna yang sudah menerima bekalan air disaran membiarkan pili air mengalir sehingga jernih.

“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan.

Elina berkata bantuan bekalan alternatif di pili awam dan pusat khidmat setempat masih diteruskan untuk kemudahan pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Status pemulihan bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram serta laman sesawang www.airselangor.com.

Pada 10 November, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor.

Susulan itu, bekalan air meliputi 1,279 kawasan di tujuh wilayah ditutup dan menjejaskan lebih 1.1 juta akaun pengguna.


Pengarang :