Loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang, lokasi disyaki berlaku pencemaran bau di Sungai Selangor pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

LUAS: Sisa buangan IWK disyaki punca pencemaran bau Sungai Selangor

SHAH ALAM, 10 NOV: Sisa buangan dari loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, Rawang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata siasatan pihaknya mendapati loji yang berjarak 12 kilometer dari Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang melepaskan bahan buangan tanpa kebenaran ke lurang (manhole) berhampiran.

“LUAS mengaktifkan kod merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA utama di bahagian hilir Sungai Selangor.

“Kami juga melaksanakan langkah nyahbau dengan meletakkan 37 beg ‘activated carbon’ untuk mengawal pencemaran di lokasi,” kata agensi dalam kenyataan.

Tambahnya, Luas juga mengaktifkan Operasi Pengepaman Air Kolam (Opak) Bestari Jaya sehingga 192 juta liter sehari (JLH) bagi meningkatkan faktor pencairan dan pelepasan air Empangan Sungai Tinggi (500 JLH) serta Empangan Sungai Selangor (300 JLH).

Ia juga menaikkan semua ‘river gate’ di Baraj Bestari Jaya bagi tujuan ‘flushing’ dan mempercepatkan aliran ke hilir sungai.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup jam 6 petang ini susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Henti tugas memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.


Pengarang :