Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Negeri Selangor pada 2 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Pertumbuhan ekonomi Selangor pada kadar dua peratus

SHAH ALAM, 2 NOV: Unjuran pertumbuhan ekonomi Selangor pada tahun ini dijangka pada kadar dua peratus kesan penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat menyebabkan banyak sektor terjejas sekali gus menjejaskan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Unjuran pertumbuhan ekonomi Selangor dibuat dalam tiga senario. Pertama, jika jangkaan KDNK nasional adalah positif 0.5 peratus, kadar pertumbuhan negeri adalah 2.09 peratus.

“Kedua, jika unjuran nasional pada paras negatif 0.5 peratus, kadar pertumbuhan Selangor adalah 1.07 peratus. Senario paling buruk ialah jika jangkaan nasional paras negatif tiga, jangkaan negeri pula paras negatif 1.47 peratus,” katanya.

Amirudin berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berhubung unjuran pertumbuhan ekonomi KDNK Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan PKP dan PKPB menjejaskan sektor pembuatan dan perkhidmatan yang menjadi penyumbang terbesar pertumbuhan ekonomi negeri.

Menjawab soalan ADN Pandamaran, Leong Tuck Chee berhubung pendapatan pada tahun ini, Amirudin berkata Kerajaan Negeri mencapai 90 peratus sasaran pendapatan sehingga 26 Oktober.

“Kita menyasarkan pendapatan RM2.2 bilion pada 2020 dan kita berjaya capai sekitar RM1.99 bilion setakat ini. Pendapatan Kerajaan Negeri pada 2017 pula adalah RM1.8 bilion, 2018 (RM1.99 bilion) dan 2019 (2.32 bilion),” katanya.


Pengarang :