Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Peruntukan sekolah RM24 juta tetap diagih tahun ini

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri tetap menyalur bantuan kepada sekolah berjumlah RM24 juta walaupun sesi pembelajaran tidak berjalan sepenuhnya pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan diberikan kepada sekolah agama rakyat, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta sekolah persendirian Cina berdasarkan permohonan pihak sekolah.

“Agihan dibuat mengikut keperluan sekolah sama ada untuk naik taraf infrastruktur atau keperluan lain, jadi kita harap bantuan diberikan diharap dapat membantu pihak sekolah menyelesaikan isu berbangkit.

“Peruntukan ini masih berbaki antara RM200,000 hingga RM300,000 dan kita akan lihat mungkin ada sekolah lagi yang memerlukan bantuan,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 pada Sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program penyerahan bantuan sepatutnya diadakan pada Mac dan April tetapi terpaksa ditunda beberapa kali susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sehubungan itu kita ambil keputusan memasukkan bantuan terus ke akaun sekolah sejak Oktober lalu. Kerajaan Negeri komited menyediakan banyak manfaat pendidikan secara berterusan kepada rakyat,” katanya.


Pengarang :