Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penyerahan cek cura kepada Surau Al Mukmin Mutiara Gombak, Gombak pada 28 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: RM100,000 bantu jawatankuasa surau bina dataran serbaguna

GOMBAK, 28 NOV: Kerajaan Negeri mengagihkan RM100,000 bagi menampung sebahagian kos pembinaan dataran serbaguna di Surau Al-Mukmin Mutiara Gombak di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu sebagai memenuhi hasrat jawatankuasa surau bagi mewujudkan gelanggang sukan dan aktiviti kemasyarakatan di dataran tersebut.

“Sumbangan ini meliputi 45 peratus daripada jumlah sebenar diperlukan untuk tujuan berkenaan manakala selebihnya melalui derma dan sumbangan orang ramai.

“Kita berharap komuniti dan pihak lain juga dapat membantu merealisasikan hasrat ahli jawatankuasa surau untuk membina dataran itu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas majlis penyerahan cek cura kepada surau berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cek cura kepada Surau Al Mukmin Mutiara Gombak, Gombak pada 28 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata Kerajaan Negeri berazam sentiasa mengukuhkan surau dan masjid kerana institusi berkenaan menjadi pusat komuniti serta transformasi rakyat.

“Walaupun kita berdepan ancaman lebih besar dengan kemajuan teknologi namun hari ini masih mampu meneguhkan institusi berkaitan.

“Setiap kali jelajah ke daerah di Selangor, saya akan melawat surau dan masjid untuk memastikannya dibela sekali gus memberi kesan positif kepada masyarakat,” katanya.


Pengarang :