Petugas Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menampal notis arahan perobohan struktur papan iklan luar tanpa kebenaran di KM437.8 hingga KM393.3 Lebuhraya Utara Selatan pada 23 dan 23 November. Foto MDHS
PBTSELANGOR

MDHS tampal notis arah roboh struktur papan iklan haram di lebuh raya

SHAH ALAM, 27 NOV: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menampal notis arahan perobohan struktur papan iklan luar tanpa kebenaran di KM437.8 hingga KM393.3 Lebuhraya Utara Selatan kedua-dua arah.

Yang Dipertua Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata hasil semakan terdapat 78 unit daripada 114 struktur dari arah utara, manakala 63 unit daripada 95 struktur arah selatan.

“Pemilik struktur ini gagal mengemukakan permohonan kebenaran merancang dan pelan bangunan kepada MDHS bagi mendapatkan kelulusan tapak dan permit struktur serta permit visual.

“Susulan itu, Notis Arahan Perobohan Struktur Tanpa Kebenaran dikeluarkan dalam tempoh 30 hari di bawah Seksyen 72(6), Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang ditampal di setiap struktur papan iklan terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata ketika operasi pada 23 dan 24 November lalu, terdapat dua unit daripada 78 struktur dari arah utara dan lima unit daripada 63 (arah selatan) telah dibuka sendiri oleh pemiliknya.

“Operasi perobohan struktur akan dijalankan selepas tamat tempoh notis iaitu pada 28 Disember dengan jangkaan awal tahun 2021.

“Selain itu, struktur papan iklan luar yang dipasang dalam kawasan tanah hak milik individu turut tidak terkecuali dan pemilik juga akan dikenakan tindakan penguatkuasaan jika gagal mengemukakan permohonan,” katanya.


Pengarang :