Penghuni di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 11 November 2020 dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas-petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

PKPD Medan 88: 502 disaring, 51 positif Covid-19

SHAH ALAM, 19 NOV: Bilangan individu positif Covid-19 di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kini 51 kes.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah Sepang berkata jumlah itu bertambah berbanding semalam, 44 kes.

Menurut Mohamad Zain A Hamid pertambahan itu susulan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Walaupun jumlah mereka yang dijangkiti wabak ini sentiasa ada setiap hari, orang ramai diminta bertenang dan sentiasa patuhi tatacara operasi piawai (SOP)

“Setakat pagi ini seramai 502 penduduk dan pekerja sekitar kawasan yang dikenakan PKPD telah disaring. Hasil daripada saringan itu, 51 individu positif wabak,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Mohamad Zain meminta penduduk atau pekerja sekitar Medan 88 yang belum jalani saringan diminta beri kerjasama tampil segera melakukan saringan.

PKPD di Medan 88 berkuat kuasa 11 hingga 25 November melibatkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 orang penduduk.


Pengarang :