Dato’ Seri Amirudin Shari melawat bengkel automotif selepas Majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa INPENS dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Kolej Antarabangsa INPENS, Kuala Selangor pada 25 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGOR
AGENSISELANGOR

STDC perkenal modul keusahawanan, lahir teknokrat

SHAH ALAM, 4 NOV: Modul keusahawanan dan perniagaan bakal diperkenalkan kepada pelatih Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) bagi melahirkan lebih ramai teknokrat berjaya di negeri ini.

Ketua eksekutifnya Mohd Asyraf Amin berkata pihaknya akan menerapkan kursus yang sesuai sama ada secara teori atau praktikal kepada semua pelajar di pusat berkenaan.

“Bidang kemahiran bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada pelatih yang sesuai dengan industri malah boleh menjadi usahawan apabila tamat kursus kelak.

“STDC akan berusaha menubuhkan inkubator yang dapat membimbing pelajar kerana kita percaya pelatih yang berkemahiran mempunyai potensi ke arah itu (teknokrat berjaya),” katanya ketika dihubungi.

Pada 30 Oktober, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan berjumlah RM15 juta bagi meneruskan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) tahun hadapan.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan 2021 berkata program itu bersifat holistik dan menyeluruh dengan penglibatan STDC bagi melengkapkan ekosistem pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional.

Mohd Asyraf turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kepercayaan dan peruntukan bagi meneruskan inisiatif tersebut khususnya dalam melahirkan tenaga mahir aras tinggi seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).


Pengarang :