Benteng di Pantai Remis, Jeram yang terhakis teruk susulan fenomena air pasang besar pada 19 September 2020. Foto ihsan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor
AGENDANASIONAL

RMK-12: Mohon RM36 juta baiki benteng pesisir pantai negeri

SHAH ALAM, 4 NOV: Sejumlah RM36 juta dipohon dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk membaiki benteng pesisir pantai negeri, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata kajian keberkesanan benteng mendapati kebanyakan struktur yang dibina antara 15 hingga 20 tahun lepas tidak mampu menahan perubahan aras laut.

“Selangor mempunyai benteng sepanjang 300 kilometer dan keutamaan diberi untuk mengukuhkan benteng pesisir pantai Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Sepang.

Ir Izham Hashim ketika sesi soal jawab di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 3 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita harap permohonan diluluskan pada tahun depan bagi memastikan benteng yang bakal dibina mampu menahan air laut berpuluh tahun akan datang,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sementa Dr Daroyah Alwi berhubung keadaan benteng serta perancangan menghadapi air pasang besar.

Ir Izham berkata sebagai langkah segera, kerajaan persekutuan menyalurkan RM12 juta untuk menaik taraf benteng Kampung Tok Muda, Kampung Sungai Serdang, Kampung Tok Adam dan Kampung Sungai Janggut di Kapar.

“Antara cadangan kita adalah bina benteng menggunakan batu tembok bagi menggantikan tanah yang digunakan sebelum ini.

“Selain itu Jabatan Pengairan dan Saliran negeri dengan kerjasama Unit Bencana Negeri Selangor juga sentiasa bersedia menghadapi fenomena air pasang termasuk rondaan secara kerap di kawasan berisiko,” katanya.


Pengarang :