Pekerja Indah Water Konsortium (IWK) melihat lokasi disyaki berlaku pencemaran bau Sungai Selangor di loji kumbahan IWK Taman Velox, Rawang pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sungai Selangor tercemar: Aktivis gesa siasat unsur sabotaj

SHAH ALAM, 13 NOV: Dakwaan unsur sabotaj dalam insiden pencemaran air di Selangor pada Selasa lalu perlu disiasat, kata Tan Sri Lee Lam Thye.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat berkata perkara itu merupakan kesalahan serius dan tidak boleh dimaafkan jika ia benar berlaku, lapor Berita Harian.

“Ia bukan memberi kesan yang sedikit tetapi menjejaskan rakyat secara besar-besaran, justeru hukuman setimpal harus dijatuhkan terhadap pelaku,” katanya.

Lam Thye berkata pihak berkuasa perlu menyiasat secara mendalam hingga ke akar umbi bagi mencari pelaku insiden.

“Harapan tinggi diletakkan agar pelaku kes pencemaran air di Selangor dibawa ke muka pengadilan untuk dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Selasa lalu, Loji Rawatan Air Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas akibat pencemaran bau di Sungai Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengesyaki adanya unsur sabotaj selepas siasatan awal mendapati terdapat bahan buangan di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) dan kawasan industri Taman Velox Rawang.


Pengarang :