Taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di Bilik Gerakan Pejabat Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 26 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Teliti semula syarat daftar kilang sekitar lembangan sungai

SHAH ALAM, 27 NOV: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor diminta mengkaji semula kriteria pendaftaran kilang sekitar lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata ketika ini hanya kilang yang mengeluarkan sisa buangan (efluen) lebih 60,000 liter layak didaftarkan.

Ir Izham Hashim memaklumkan sebanyak 223 kilang didaftarkan setakat hujung tahun lalu, berbanding lebih 15,000 premis yang wujud.

“Kita minta JAS teliti perkara ini. Jika tidak dapat mengurusnya, kita akan minta Lembaga Urus Air Selangor ambil langkah kerana tidak mahu ada kelompangan,” katanya menambah akta perlu diselaras untuk tindakan holistik.

Ir Izham Hashim bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di Bilik Gerakan Pejabat Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 26 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di sini semalam.

Ir Izham menjelaskan semua kilang tidak berdaftar itu bukan dalam kelompok berisiko tinggi yang boleh menyumbang kepada masalah pencemaran.

“Masalah kita adalah hasil kumbahan yang sedikit tetapi banyak di sesuatu kawasan. Contohnya kumbahan restoran, ia sedikit tetapi ada banyak premis.

“Jadi kita mahu semua kilang yang keluarkan efluen sedikit tetap ada sistem,” katanya lagi.

Data Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor setakat 30 Jun 2017 mendapati sebanyak 15,331 kilang didirikan berhampiran lembangan sungai, namun hanya 223 berdaftar.

 


Pengarang :