Presiden UiTM FC Prof Dr Azizan Abdullah (kanan) bersama Ketua Jurulatih Pasukan UiTM FC Frank Bernhardt (kiri) selepas menandatangani kontrak baru bersama pasukan UiTM FC pada Majlis Memperkenalkan Ketua Jurulatih dan Pemain UiTM FC Musim 2021 di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 20 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

UiTM FC sambung kontrak Frank Bernhardt sebagai jurulatih

SHAH ALAM, 20 NOV: Pasukan bola sepak UiTM FC menyambung perkhidmatan ketua jurulatihnya Frank Bernhardt untuk satu musim lagi, selepas skuad itu mempamerkan persembahan cemerlang dalam musim pertamanya di Liga Super.

Presiden UiTM FC Prof Dr Azizan Abdullah berkata, sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia pada musim hadapan, skuad ‘The Lion Troops’ turut menyambung kontrak perkhidmatan sembilan pemain tempatan pasukan berkenaan.

Beliau berkata pasukan memilih untuk menyambung perkhidmatan Bernhardt kerana beliau berjaya meletakkan UiTM FC sebaris dengan pasukan berpengalaman di Liga Super.

“Dengan kedudukan di tangga keenam pada Liga Super dan layak ke suku akhir bagi Piala Malaysia, pengurusan UiTM FC yakin dengan beliau untuk memimpin pasukan ini buat musim kedua bagi meraih pencapaian yang lebih gemilang.

“Untuk musim hadapan, kita sasarkan dapat kekal bersaing dalam Liga Super dan layak ke saingan AFC,” katanya pada sidang media di majlis menandatangani kontrak antara UiTM FC dan jurulatih serta pemain di sini, hari ini.

Turut hadir, sembilan pemain tempatan yang disambung kontrak bagi musim hadapan antaranya, Azfar Arif, Azam Jais, Muhamad Afif Asyraf, Ahmad Khuzaimi Piee, Muhamad Nazshran Elias, Mohd Shafiq Alhafiz, Muhamad Nazirul Hasfh.

Azizan berkata pihaknya akan mengadakan sesi pemilihan pemain tempatan secara terbuka bulan depan dan menjemput para pemain daripada universiti awam serta swasta, untuk melengkapkan senarai berkenaan.

“Kami juga menjemput para pemain yang tidak tersenarai hari ini untuk sama-sama menyertai sesi pemilihan pada tarikh yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Bernhardt menyatakan keputusannya untuk kekal bersama UiTM FC adalah untuk membuktikan bahawa pencapaian pasukannya musim ini bukan sekadar nasib.

Katanya, pencapaian skuadnya musim ini disebabkan falsafah yang diterapkan dalam pasukan dan berazam untuk lebih berjaya tahun depan.

“Ramai pemain kami telah meninggalkan pasukan selepas mendapat tawaran lebih baik dari pasukan lain. Tetapi kerja mesti bermula dari sekarang. Kami yakin bahawa pasukan dapat mencapai semua sasaran pada musim depan,” katanya.

Mengenai pemergian sebahagian besar pemain import UiTM FC, Bernhardt berkata menggunakan peruntukan yang terhad, beliau akan berusaha mencari pemain gantian yang mempunyai kualiti sama atau lebih baik.

– BERNAMA


Pengarang :