Saintis menyediakan sampel semasa penyelidikan dan pembangunan vaksin Covid-19 di makmal bioteknologi BIOCAD di Saint Petersburg, Rusia pada 11 Jun 2020. Foto REUTERS
AGENDAEKONOMINASIONAL

Vaksin Covid-19 bantu percepat pulih niaga, sektor terjejas – Moody’s

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Vaksin untuk Covid-19 akan membantu mempercepatkan pemulihan dalam sektor yang terjejas oleh pandemik, tetapi untuk kebanyakan perniagaan, kelangsungan akan terus mencabar sehingga virus itu tidak lagi dilihat sebagai ancaman kesihatan awam ketara, menurut Moody’s Investors Service.

Katanya pandemik menyebabkan kerosakan besar kepada sektor paling teruk terjejas dan terus memberi kesan kepada keadaan dan prospek kewangan mereka, dengan penularan virus berulang dan langkah sekatan pergerakan mengurangkan permintaan.

“Risiko kegagalan perniagaan meningkat dengan ketara apabila lebih lama pandemik itu menghalang kembali kepada aktiviti normal,” menurut agensi penarafan antarabangsa itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Sukar untuk mengetahui jumlah perniagaan bertahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang dengan pendapatan di bawah normal.

Perniagaan bersaiz kecil dan sederhana di negara-negara maju dan pasaran sedang pesat membangun adalah berisiko dan kebanyakannya ditutup berikutan kejutan aliran tunai berpanjangan, katanya.

“Mereka yang bertahan mempunyai tanggungjawab berat membina semula lembaran imbangan mereka selain menghadapi perubahan ketara dalam tatalaku pengguna dan pola permintaan.”

Oleh itu, katanya walaupun aktiviti ekonomi kembali pada tahap baik apabila vaksin boleh didapati dengan meluas, impak ekonominya dan persekitaran operasi berubah dirasai untuk tempoh lama.

Mengenai vaksin, Moody’s berkata walaupun kejayaan ujian Fasa 3 vaksin tersebut merupakan pencapaian besar, terdapat banyak halangan di hadapan termasuk memenuhi syarat kelulusan oleh pengawal selia di negara masing-masing, pengeluaran berbilion dos diperlukan untuk vaksinasi secara besar-besaran, memastikan penyimpanan baik dan membina rangkaian pengedaran.

Setakat ini, Pfizer Inc, AstraZeneca Plc dan Moderna Inc mengumumkan keberkesanan vaksin mereka untuk Covid-19.

Moody’s berkata pengedaran dijangka secara berperingkat apabila pengawal selia meluluskan vaksin, dengan pegawai kesihatan memberi keutamaan kepada akses untuk pekerja penjagaan kesihatan dan mereka yang dalam profesion lain berisiko tinggi, serta mereka paling mudah terdedah kepada Covid-19, seperti orang tua dan individu di rumah penjagaan.

Dua pemboleh ubah penting dalam kejayaan vaksin secara keseluruhan untuk memerangi pandemik ialah kesediaan masyarakat untuk mendapatkan vaksin dan jumlah peratusan penduduk yang perlu diberi vaksin supaya penularan virus itu dapat dikawal.

Ketersediaan vaksin dijangka berbeza di setiap negara, dengan kos dan akses menjadi halangan utama terutamanya bagi negara kurang maju.

Katanya banyak negara maju dan pasaran sedang pesat membangun berpendapatan sederhana mendapat kontrak untuk ratusan juta dos vaksin.

Penduduk di negara-negara ini menjadi antara yang pertama mendapat vaksin, dengan ekonomi mereka mendapat manfaat daripada penurunan krisis kesihatan awam.

Semakin cepat krisis kesihatan di sesebuah negara berkurangan, semakin kukuh pemulihan ekonomi negara itu, katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :