Selangorkini
Mohd Najwan Halimi (kanan) menyantuni penduduk setempat di Flat PKNS Seksyen 7, Shah Alam pada 3 September 2020. Foto Facebook Najwan Halimi
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Wakil rakyat Kota Anggerik sediakan modal mulakan niaga

SHAH ALAM, 12 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik berusaha menyediakan sebahagian modal untuk peniaga kecil khususnya anak muda bagi memulakan perniagaan.

Memahami kegusaran penduduk yang mahu mencari pendapatan bagi menampung kehidupan susulan dampak Covid-19, Mohd Najwan Halimi menggiatkan lagi inisiatif yang dimulakannya sejak 2018.

Beliau mengguna pakai peruntukan wakil rakyat untuk menyalur antara 10 hingga 15 peratus modal permulaan kepada peniaga yang permohonan mereka diluluskan.

Umpamanya, peniaga yang mahu membuka gerai burger menerima antara RM300 hingga RM500 jika modal keseluruhan RM3,000. Biarpun jumlah itu bukan dana penuh tetapi sekurang-kurangnya meringankan beban rakyat.

Mohd Najwan Halimi

Pemohon terdiri daripada mereka yang tiada pekerjaan dan mencari pendapatan sampingan. Mereka hanya perlu menyediakan kertas kerja bagi membuktikan komitmen supaya hanya yang benar-benar layak menerimanya.

Selepas dua tahun dijalankan, kesannya dapat dilihat apabila ada antara peniaga muda konsisten dalam perniagaan, malah ada yang mampu menggajikan pekerja.

“Itu kesan saya mahu lihat sebenarnya selain jumlah pendapatan peniaga terbabit, ada nilai tambah kepada komuniti. Bila kita bantu dengan sediakan modal berniaga mereka dapat pula upah pekerja,” katanya kepada SelangorKini baru-baru ini.

Najwan juga tidak terkecuali berdepan cabaran ketika pandemik Covid-19 sekitar Mac dan masa kini yang menuntutnya mencari pendekatan baharu bagi meringankan beban masyarakat.

Justeru itu, beliau mewujudkan bank makanan dari peruntukan ADN. Bantuan diserah kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40) kerana semuanya terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memerlukan semua berada di rumah.

“Kita beri makanan asas antaranya beras dan tepung. Sepanjang tiga bulan itu, kira-kira 1,500 penduduk mendapat bantuan. Sekarang kita juga teruskannya kerana masih ada yang terjejas,” katanya.

Bantu siswa

Najwan turut melaksanakan inisiatif pemberian komputer riba kepada siswa dari keluarga B40 yang belum memiliki kemudahan itu. Ia diperkenalkan akibat kesan Covid-19 yang memerlukan mereka mengikuti pengajian dalam talian.

“Ketika PKP, ramai tidak dapat ke kuliah dan perlu belajar dalam talian. Namun, tidak semua beruntung mempunyai komputer riba. Jadi saya bantu golongan itu supaya mereka dapat teruskan pembelajaran.

“Bukan sahaja mereka mendapat manfaat malah ahli keluarga lain yang berkongsi komputer riba itu,” kata wakil rakyat berusia 35 tahun yang berkhidmat sejak dua tahun lalu.

Mohd Najwan Halimi (kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 27 Oktober 2020. Foto Facebook Najwan Halimi

Najwan juga membekal air minuman percuma kepada lapan sekolah menengah kerajaan di Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, menaik taraf kemudahan riadah dan menceriakan persekitaran pangsapuri kos rendah di Seksyen 6, 7, 8, 16 dan U16 selain membaiki jalan raya.

Kini, tumpuannya terarah kepada memperkukuh organisasi berteras komuniti dalam kalangan warga Kota Anggerik dan Shah Alam bagi memantapkan peranan mereka dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan bersama.

“Dari sudut kemudahan, semuanya lengkap di Kota Anggerik, hanya perlu diselenggara sahaja. Perkara menjadi cabaran adalah membina komuniti, jadi saya sering berhubung dengan masyarakat dan galakan mereka mewujudkan persatuan penduduk.

“Apabila ada masalah, mudah untuk diselesaikan kerana ada komuniti bersama-sama memberikan maklumat dan menjaga kebajikan,” katanya.


Pengarang :