Selangorkini
Bryan Lai Wai Choong (dua, kanan) meninjau kerja menaik taraf longkang di Jalan Maju 2 Taman Lembah Maju bagi mengatasi masalah banjir kilat pada 3 September 2020. Foto Facebook Bryan Lai
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Wakil rakyat Teratai aktif tangani lambakan pendatang asing

SHAH ALAM, 13 NOV: Lambakan warga asing antara isu utama yang dibangkitkan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai khususnya di Kampung Tasek Permai, Kampung Tasek Tambahan dan Pandan Mewah.

Justeru, Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai Bryan Lai Wai Choong berazam memastikan masalah itu diselesaikan sebaik mungkin bagi mengelak persaingan ekonomi tidak sihat.

“Ini terjadi ekoran kedudukan DUN Teratai adalah kawasan tumpuan perniagaan. Timbul pelbagai isu yang wujud dari kelompok pendatang asing yang akhirnya memberi saingan ekonomi.

“Yang ada dokumen tidak menjadi masalah, namun majoriti mereka tidak ada dokumen langsung,” katanya kepada SelangorKini baru-baru ini.

Bryan Lai Wai Choong ketika menghadiri program Kayuhan Hari Malaysia Penggerak Belia Tempatan di DUN Teratai pada 12 September 2020. Foto Facebook Bryan Lai

Wakil rakyat sejak Mei 2018 berusia 46 tahun berkata pelbagai penguatkuasaan dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan termasuk sitaan bagi mengurangkan masalah itu.

Bekas ahli Majlis Perbandaran Kajang juga memberi tumpuan untuk menjadikan Teratai sebagai bandar yang bersih dan selesa untuk didiami.

“Itu janji yang saya tekankan ketika berkempen pada 2018 kepada penduduk termasuk mewujudkan kawasan atau tempat tinggal yang bersih.

“Semuanya telah saya laksanakan melalui kerjasama yang erat dengan KDEB Waste Management dan pasukan Teratai. Setakat ini, seluruh Teratai bersih kerana sistem pengutipan sampah berjalan dengan baik,” katanya.

Selain itu, beliau juga berharap dalam lima tahun akan datang, Teratai menjadi lokasi pelancongan dan rekreasi utama melalui inisiatif yang dirancang serta digerakkan di Bukit Saga dan Bukit Apek.

Atasi kesesakan, banjir

Bryan juga mengatasi masalah kesesakan melampau di Jalan Bunga Mawar melalui pelaksanaan jalan sehala dan menangani isu banjir kilat di Taman Muda, Tasek Permai, Taman Bukit Teratai dan Kampung Tasik Permai.

Beliau mengakui penubuhan pasukan Teratai dari pelbagai kaum dan latar belakang banyak membantu menambah baik hal ehwal pengurusan rakyat.

Bryan Lai Wai Choong (berdiri, tiga dari kanan) meninjau kerja pembukaan lubang longkang bagi mengelakan banjir kilat di Taman Putra pada 12 September 2020. Facebook Bryan Lai

“Dengan kewujudan pasukan itu, lebih 80 peratus aduan orang ramai dalam tempoh dua tahun dapat diselesaikan,” kata setiausaha DAP Selangor.

Beliau juga yakin Selangor dengan kepimpinan prorakyat amalan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang disifatkannya sebagai pemimpin rajin dan berkesan.

Pada pilihan raya umum 2018, Bryan menang dengan majoriti 29,425 undi dalam pertandingan empat penjuru mengalahkan calon PAS, Barisan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia. Jumlah itu meningkat berbanding 2013 yang hanya memperoleh majoriti 13,646 undi.

Antara bantuan lain:

– Mewujudkan klinik bantuan guaman dan undang-undang di Teratai
– Menurap jalan di Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai
– Menyumbang bantuan barangan asas kepada pelajar Orang Asli
– Menyediakan pusat khidmat setempat di AEON Big Lembah Jaya bagi menangani isu bekalan air


Pengarang :