Antara pemenang Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2020 memegang cek cura masing-masing pada majlis penyampaian pada 22 Disember 2020. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

19 persatuan penduduk rangkul Anugerah Komuniti Mampan PJ

SHAH ALAM, 23 DIS: Sebanyak 19 persatuan penduduk dan rukun tetangga di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memenangi Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2020.

Pihak berkuasa tempatan berkata program tahunan itu bertujuan mempersiapkan daerah tersebut menjadi lebih sejahtera, makmur dan berdayahuni berdasarkan pelan strategik PJ Smart Sustainable And Resilient 2030 (PJSSR 2030).

“Sepanjang penganjuran hampir dua dekad, MBPJ berjaya melahirkan sebanyak 63 juara dalam kalangan komuniti persatuan penduduk, rukun tetangga dan NGO pembangunan mampan dengan 4,270 projek.

“Pencapaian ini memberi sumbangan kepada kejayaan Petaling Jaya mencapai status ‘The Most Sustainable City in Malaysia’ berdasarkan indeks MURNINET Bandaraya Mampan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000 diikuti tempat kedua (RM30,000), ketiga (RM25,000), keempat (RM20,000) dan kelima (RM15,000).

Manakala dua kategori mentor masing-masing menerima RM10,000 diikuti 10 ‘special mention’ (RM4,000) serta dua ‘special commendation’ (RM2,000).


Pengarang :