Vaksin selesema diberikan di tempat saringan Covid-19 di San Fernando California, Los Angeles pada 24 November 2020. Foto AFP
BERITA UTAMA

Vaksin Covid-19: Kerajaan digesa utamakan golongan berisiko tinggi

SHAH ALAM, 23 DIS: Kerajaan perlu mengutamakan golongan berisiko tinggi dalam pemberian suntikan vaksin Covid-19, kata pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC).

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata golongan itu termasuk petugas barisan hadapan, mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik serta warga emas.

“Saya ingatkan KKM dan kerajaan ambil perkara ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya menerusi wawancara ‘Cabaran Tangani Peningkatan Kes Covid-19 di Selangor’ di Astro Awani malam tadi.

Kerajaan sebelum ini menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer bagi membolehkan negara mendapatkan 12.8 juta dos bekalan vaksin Covid-19.

Sebanyak satu juta dos vaksin dijangka diterima pada Mac tahun depan yang akan dikhaskan kepada petugas barisan hadapan.

Bagaimanapun, suntikan itu tidak akan diberikan kepada kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dan ibu mengandung.


Pengarang :