Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) ketika membuat tinjauan ke Pusat Saringan Covid-19 di pusat perniagaan Medan 88 Bandar Salak Tinggi, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 11 November 2020. Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ambil iktibar cabaran 2020, mantap ikhtiar hadapi 2021 – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat mengambil iktibar daripada cabaran serta dugaan sepanjang 2020 akibat penularan Covid-19, dan mahu rakyat melangkah ke gerbang tahun baharu 2021 dengan semangat dan keazaman yang baharu.

“Untuk tahun baharu 2021 ini, saya ingin menyeru saudara dan saudari sekalian agar terus memperkukuhkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar kita untuk bersama-sama membendung pandemik Covid-19,” kata beliau dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu 2021 yang disiarkan di saluran televisyen malam ini.

Dengan penuh prihatin, pemimpin itu turut berkongsi tentang dugaan dan cabaran yang dihadapi rakyat sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara termasuk mereka yang kehilangan dan dibuang kerja serta terpaksa mengikat perut demi mengutamakan makanan untuk anak-anak dan pelbagai lagi kesulitan hidup.

Beliau berkata kerajaan sedang giat menjalankan segala usaha bagi memastikan rakyat selamat daripada ancaman virus ganas tersebut.

“Namun demikian, kita sendiri perlu bertanggungjawab dan berwaspada kerana virus ini sudah berada dalam komuniti di sekeliling kita. Insya-Allah, berbekalkan pengalaman sepanjang tahun 2020 kita semua mampu memastikan situasi pandemik terus terkawal,” katanya.

Perdana Menteri juga memberi jaminan kerajaan akan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan-kepentingan lain dan soal kebajikan rakyat adalah keutamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Di sebalik pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19 ini, kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional yang berteraskan prinsip prihatin telah mengambil kira semua aspek dan kebajikan seluruh lapisan masyarakat dalam perancangan sektor ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sosial,” katanya.

Tegasnya, dasar itu bukan sekadar slogan tetapi merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan PN, sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaiannya.

Dalam perutusan sama, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang bangkit menentang kemaraan penularan wabak ini dengan satu keazaman dan semangat kesepaduan yang amat luar biasa.

“Walaupun pelbagai dugaan datang melanda sepanjang tahun 2020, rakyat Malaysia telah menunjukkan sikap positif dan daya ketahanan yang cukup kental dan amat membanggakan. Terima kasih rakyat Malaysia,” katanya.

Sambil mengingatkan rakyat agar terus mematuhi SOP ditetapkan dan tidak leka dengan kelonggaran yang diberikan, Muhyiddin berharap 2021 akan membuka lembaran baharu rakyat terus bersatu-padu memulihkan semula negara termasuk dari segi kesihatan awam, sosioekonomi, perpaduan kaum dan integrasi nasional.

“Tahun 2020 merupakan tahun yang amat sukar dan mencabar, namun saya percaya sebagai insan dan rakyat bumi bertuah Malaysia ini, masih banyak nikmat yang boleh kita syukuri.

“Justeru, marilah kita sama-sama mengembleng kekuatan dan kecekalan yang ditunjukkan sepanjang tahun 2020, untuk melangkah ke tahun baharu 2021 dengan semangat yang lebih kental,” katanya.

Kerajaan PN, juga katanya akan terus memartabatkan syiar Islam dengan memenuhi tuntutan Maqasid Syariah yang menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta tanpa menafikan hak agama lain dalam keadaan negara sedang berhadapan pandemik Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :