AGENDANASIONAL

Berita tular jangkitan Covid-19 berkait Zoo Melaka tidak benar

MELAKA, 31 DIS: Tiada sebarang kes jangkitan Covid-19 direkod berkaitan Zoo Melaka seperti yang tular di laman sosial Facebook baru-baru ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata setakat ini juga tiada arahan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka kepada pengunjung ke lokasi pelancongan terkenal di Ayer Keroh itu supaya membuat ujian saringan.

“Ingin saya tegaskan apa yang tular itu adalah berita palsu yang direka oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menakut-nakutkan orang ramai.

“Kebanyakan peningkatan kes di negeri ini tidak disebabkan penularan tempatan tetapi dikesan membabitkan mereka yang datang atau pulang dari zon merah, segelintirnya tidak menitikberatkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dan menyebabkan ia berjangkit kepada orang lain,” katanya kepada pemberita selepas memantau SOP Covid-19 di Zoo Melaka hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman dan Timbalan Pengarah Kesihatan Melaka (Kesihatan Awam) Dr Rusdi Abdul Rahman.

Mengulas mengenai pemantauan itu, beliau turut berpuas hati dengan pematuhan dan persiapan SOP yang disediakan pihak zoo kepada pengunjung termasuk menyediakan pelekat penjarakan fizikal satu meter di antara setiap keluarga.

-BERNAMA


Pengarang :