AGENDANASIONAL

Kaunter LHDN Cheras ditutup bermula esok untuk sanitasi

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Seluruh tingkat enam dan sembilan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Cheras akan ditutup sementara bermula esok sehingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak bagi memberi laluan kepada kerja sanitasi.

“Penutupan sementara ini akan melibatkan semua kaunter setempat mengendalikan khidmat nasihat percukaian dan kaunter bantuan khas kerajaan yang mengendalikan Bantuan Sara Hidup, Bantuan Prihatin Nasional dan Geran Khas Prihatin,” menurut LHDN dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kaunter duti setem dan cukai keuntungan harta tanah yang berada di tingkat tujuh tidak terjejas dan akan beroperasi seperti biasa sebagaimana waktu operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sehubungan itu, dalam tempoh tersebut pelanggan dinasihatkan supaya melakukan semua urusan percukaian secara dalam talian.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000 atau 603-89111100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

-BERNAMA


Pengarang :