Foto Facebook
AGENDANASIONAL

Lebih 100 anggota, pegawai IPD Iskandar Puteri jalani kuarantin

ISKANDAR PUTERI, 2 DIS: Seramai 111 anggota dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri diarahkan menjalani kuarantin bermula 30 Nov di rumah masing-masing, susulan salah seorang pegawai didapati positif Covid-19.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata arahan kuarantin itu membabitkan seramai 36 pegawai, 71 anggota, satu kakitangan awam dan tiga ahli keluarga.

Katanya, arahan kuarantin itu dikeluarkan selari dengan nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, pegawai berpangkat inspektor terbabit merupakan kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

“Memang ada pegawai daripada IPD Iskandar Puteri yang berinteraksi dengan seorang individu positif Covid-19 iaitu orang luar.

Mereka (anggota dan pegawai) ini bukan positif Covid-19 lagi, cuma ada kontak rapat jadi atas nasihat KKM kita kuarantin mereka sehingga dapat keputusan swab,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja (Mekar) hari ini.

Ayob Khan berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor akan membantu urusan pentadbiran dan operasi IPD Iskandar Puteri.

“Oleh sebab itu, masyarakat tidak perlu bimbang kerana kita telah mengatur gerak anggota dan pegawai dari IPK untuk bantu urusan dan operasi IPD ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :