Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan Mat Yusop bergambar bersama penerima bantuan persekolahan asnaf fakir, miskin dan mualaf bagi sesi 2021 di Bangunan LZS, Shah Alam pada 16 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS biaya persiapan sekolah lebih 70,000 anak asnaf

SHAH ALAM, 16 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sejumlah RM34.6 juta kepada anak asnaf fakir dan miskin negeri ini untuk sesi persekolahan tahun depan.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata bantuan kepada lebih 70,000 asnaf dari peringkat prasekolah hingga menengah meliputi yuran dan kelengkapan sekolah.

Saipolyazan Mat Yusop memaklumkan sumbangan disalurkan melalui tiga kaedah iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucar dan bayaran tunai.

“Setiap pelajar akan menerima bantuan yuran antara RM100 hingga RM250 seorang bergantung kepada tahap persekolahan mereka,” katanya pada program agihan bantuan persekolahan sesi 2021 di sini.

“Kelengkapan sekolah pula boleh ditebus menggunakan MyKad ketua keluarga di pasar raya terpilih seperti Tesco, Sakan, Jakel, Canggih dan Fairuz Ramdan Design.”

Saipolyazan berkata penerima bagi kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang boleh menebus bantuan tersebut melalui Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.

 


Pengarang :