AGENDAEKONOMINASIONAL

MAHB lanjut bantuan kepada peruncit bermula Januari 2021

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melanjutkan pakej bantuan khusus kepada semua peruncitnya dengan rebat sewaan sehingga 30 peratus bermula Januari 2021.

Dalam kenyataan hari ini, MAHB berkata pakej bantuan itu ditawarkan kepada peruncit sedia ada yang telah berdaftar di bawah program penetapan semula komersial dengan rebat sewa 100 peratus bermula Julai hingga Disember 2020.

Selain itu, ia berkata rakan syarikat penerbangan akan turut menikmati rebat sehingga 30 peratus bagi caj penerbangan seperti pendaratan, ruang letak pesawat, jambatan udara dan caj kaunter daftar masuk, namun bukan Caj Perkhidmatan Penumpang.

“Mulai 2021 dan selanjutnya, peruncit sedia ada akan hanya dikenakan sewa berdasarkan kadar pertumbuhan penumpang sebenar di lapangan terbang, misalnya, sekiranya trafik penumpang adalah 20 peratus, mereka hanya perlu membayar 20 peratus daripada sewa penuh.

“Model sewaan baharu itu terpakai untuk mereka yang menyertai program penetapan semula komersial, yang membolehkan penyewa runcit yang layak untuk menikmati pengurangan 30 peratus daripada kadar semasa, dengan manfaat tambahan untuk mengimbangi jurang trafik yang rendah daripada 70 peratus berserta lanjutan tempoh kontrak,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata pakej bantuan itu diperkenalkan sebagai maklum balas daripada permintaan penyewa yang mengalami masalah aliran tunai, terutamanya akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri.

“Apa yang kami lakukan untuk para peruncit kami adalah melebihi sebarang pakej bantuan yang ditawarkan oleh mana-mana kawasan membeli-belah bandar raya dan kami yakin ini merupakan pakej baik kepada semua pihak dalam keadaan ini.

“Dengan prinsip panduan ini, kami melaksanakan langkah tersebut untuk menawarkan rebat tambahan meskipun kami sendiri dalam keadaan sukar sejak tiga suku yang lepas, dan ini akan mengurangkan lagi rizab tunai kami,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :