MBSA membuka kaunter permohonan permit penjaja sementara di Dewan Liparis, Jalan Anggerik Liparis 31/146, Seksyen 31, Shah Alam pada 19 dan 20 Disember 2020. Foto Facebook MBSA
BERITA UTAMASELANGOR

MB: 62 penjaja, peniaga kecil Kota Kemuning dapat permit niaga

SHAH ALAM, 20 DIS: Sebanyak 62 permit perniagaan sementara diluluskan kepada penjaja dan peniaga kecil di kawasan Kota Kemuning di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata lesen itu diluluskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi pembukaan kaunter permohonan pada semalam dan hari ini di Dewan Liparis, Seksyen 31.

“Program ini akan diperluaskan ke seluruh negeri bagi membantu mereka yang ingin berniaga,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Sementara itu, ketua bahagian korporat dan perhubungan awam MBSA berkata kaunter permohonan yang dibuka selama dua hari mendapat sambutan menggalakkan.

Shahrin Ahmad memaklumkan inisiatif tersebut memberi peluang kepada orang ramai menjana pendapatan khususnya mereka yang terkesan dengan penularan Covid-19.

Tambahnya, tapak penjaja sementara akan dibuka di beberapa lokasi yang dikenal pasti antaranya Seksyen 26,27,28, 31 dan 35.

 


Pengarang :