AGENDANASIONAL

MetMalaysia keluar amaran hujan lebat di beberapa kawasan

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang sehingga hari ini sementara beberapa tempat di Sabah pula berkuat kuasa sehingga Isnin.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon dalam satu kenyataan berkata amaran peringkat kuning di Terengganu melibatkan kawasan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman sementara di Pahang pula ialah di Kuantan.

Amaran cuaca peringkat kuning sehingga Isnin ini di Sabah merangkumi Sipitang, Tenom, Beaufort dan Nabawan.

“Dalam tempoh tersebut, tiupan angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan Sabah,” katanya.

Dalam tempoh berkenaan, katanya ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang juga dijangka berlaku di kebanyakan negeri di pantai barat Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Turut dijangka mengalami keadaan cuaca yang sama ialah pedalaman Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, dan Bera) serta barat Sabah dan barat Sarawak yang berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

Jailan turut memaklumkan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam, dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Sabah, dalam tempoh berkenaan.

“Keadaan ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit.

“Selain itu, Lekukan Tropika berada di kedudukan 8.9 darjah Utara dan 120.6 darjah Timur dijangka bergerak ke arah barat dengan kelajuan 15km/j. Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Sabah,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :