AGENDA NASIONAL

MPM mohon lebih acara dipertanding pada Sukan Para ASEAN di Hanoi

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mencadangkan agar 18 sukan dipertandingkan pada Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 yang akan diadakan di Hanoi, Vietnam tahun depan berbanding 11 sukan yang dicadangkan pihak penganjur.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata melalui tinjauan yang dijalankan, kebanyakan tujuh negara ingin acara berbasikal trek dan jalan raya, bola sepak cerebral palsy (bola sepak CP), bola keranjang kerusi roda dan boling tenpin dimasukkan dalam APG.

Beliau berkata acara sukan judo, bola sepak buta dan tenis kerusi roda pula mendapat sokongan sekurang-kurangnya empat negara.

“Kami mencadangkan acara sukan ditingkatkan kepada 18 acara sebagai memperlihatkan perkembangan permainan dalam kejohanan tersebut dan membolehkan penyertaan lebih banyak peserta mengambil bahagian dengan semangat penglibatan seperti yang dikehendaki oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa.

“Vietnam sebagai negara tuan rumah boleh mencari langkah penjimatan kos bagi memastikan kos penganjuran kekal rendah dan boleh juga mendapatkan idea dari negara-negara peserta bagaimana hendak melakukannya,” katanya.

Beliau berkata menurut pengalaman sebelum ini, Malaysia pasti mempunyai beberapa idea bagaimana hendak memastikan kos penganjuran tetap rendah dan pada masa sama jumlah sukan dipertandingkan meningkat kepada 18 acara.

“Kami berharap semua masalah ini dapat diselesaikan dalam mesyuarat Lembaga Pengelola yang akan diadakan pada pertengahan Januari depan yang dianjurkan oleh Sekretariat Persekutuan Sukan Para ASEAN yang berpusat di Bangkok,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) Mejar Jeneral Osoth Bhavilai menyatakan Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Vietnam (VIEAPGOC) telah mencadangkan 11 sukan – atletik, badminton, berenang, pingpong, catur, angkat berat, boccia, judo, goalball, tenis kerusi roda dan memanah – akan dipertandingkan dalam sukan dwitahunan itu yang dijadualkan dari 17 hingga 23 Disember tahun depan.

APG terakhir diadakan di Kuala Lumpur pada 2017 dengan 16 acara sukan dipertandingkan, sementara APG ke-10 di Filipina dibatalkan kerana wabak Covid-19 setelah beberapa kejohanan sebelum ini ditangguhkan kerana tuan rumah yang tidak bersedia.

– BERNAMA


Pengarang :