AGENSISELANGOR

Paip pecah di Klang, bekalan air dijangka pulih esok

SHAH ALAM, 20 DIS: Sebanyak 12 kawasan di Klang dan Shah Alam mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di Jalan Seruling 59, Taman Seri Andalas, Klang hari ini.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pengguna dijangka menerima semula bekalan air secara berperingkat selepas kerja pembaikan siap pagi esok.

“Kerja pembaikan dijangka siap jam 7 pagi esok (21 Disember) dan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya jam 5 petang secara berperingkat berdasarkan jarak premis dan tekanan air,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Menurut Elina bekalan air ditutup pada jam 8.30 malam ini bagi kerja pembaikan insiden terbabit.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti aplikasi Air Selangor serta media sosial Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Antara kawasan terlibat:

1. Taman Sentosa
2. Jalan Raja Nong
3. Jalan Bendahara
4. Jalan Bentara
5. Jalan Sg Jati
6. Jalan Temenggong
7. Jalan Laksamana
8. Taman Bijaya
9. Taman Rakyat
10. Jalan Seri Sarawak
11. Bandar Puteri
12. Bandar Putera 2


Pengarang :